Rabu, 14 Maret 2012

kebaikan serta keburukan Internet

PENDEDAHAN kepada komputer dan teknologi
maklumat (IT) mewujudkan budaya celik komputer
di kalangan masyarakat terutama belia. Sektor awam
dan swasta telah memanfaatkan penggunaan komputer
dan IT dalam memantapkan operasi mereka. Penggunaan
komputer dan rangkaian yang diwujudkan memudahkan
perdagangan bebas merentasi sempadan negara.
Kalau komputer boleh diibaratkan sebagai sebilah
pisau, ia boleh memotong dan juga membunuh. Kita
khuatir terhadap kecenderungan sesetengah golongan
masyarakat terutama belia yang membuang masa di
depan komputer dan tidak memanfaatkan maklumat yang
boleh ditimba. Ada belia yang duduk sepanjang hari di
depan komputer untuk melayari talian ‘chat’, pornografi ,
dan permainan video.
“Technology changes every second.” Berdasarkan
pengertian ini, setiap penduduk dunia, jika boleh, tidak
mahu ketinggalan dalam mengejar arus perkembangan
teknologi yang begitu pesat. Bahkan, anak-anak kecil juga
sudah mula mengenali apa itu Internet kerana pendedahan
awal ibu bapa dan sekolah yang mahu generasi muda
tidak ketinggalan dalam mengenali teknologi maklumat
dan komunikasi.
Dalam kita mengejar arus kemodenan, Internet telah
banyak memberi input dan merupakan salah satu penyalur
maklumat penting dan terkini. Banyak faedah yang boleh
didapati menerusi penggunaan Internet, cuma manusia
saja yang menyalahgunakan Internet ke arah kerosakan
moral dan etika. Adalah lebih baik jika kita kupaskan serba
sedikit kebaikan serta keburukan Internet di negara ini.
Antara kebaikan Internet adalah maklumat begitu
mudah dan cepat disalurkan untuk digunakan dalam
pelbagai urusan, seperti dalam bidang penyelidikan dan
pengumpulan data. Selain itu komunikasi antara negara
di dunia menjadi semakin mudah dan ringkas dengan
wujudnya e-mel dan ‘chat’, di mana kos perhubungan begitu
murah jika dibandingkan dengan penggunaan telefon dan
juga begitu cepat jika kita membuat perbandingan dengan
penghantaran surat biasa melalui pos.
Urusan perniagaan dan perbankan semakin mudah
dengan pengenalan ‘e-banking’. Kini, pelanggan bank
tidak perlu bersusah payah beratur di kaunter-kaunter
bank kerana urusan perbankan boleh dilakukan menerusi
Internet. Pembayaran bil juga kini dilakukan menerusi
Internet dan ini merupakan kemudahan yang paling
mendapat sambutan ramai kerana kemudahan ini nyata
menjimatkan masa pengguna.
Antara penyalahgunaan Internet pula ialah Internet
digunakan untuk melayari laman-laman web lucah dan
tidak berfaedah. Pembaziran waktu bekerja kerana
sering berada di ‘chat room’ untuk berbual sesama rakan.
Kemudahan yang ada membolehkan pelbagai jenis laman
web baru ditubuhkan untuk tujuan tidak sihat, seperti halaman-halaman web politik yang tidak memberi maklumat
sebenar kepada rakyat.
Selain itu penyalahgunaan yang sering kita dengar
adalah pengiriman spam dikategorikan sebagai sampah
Internet merupakan salah guna yang terbesar. Tidak
kurang juga dengan kes pemalsuan yang antara lain
melibatkan pengubahsuaian laporan dan data sesebuah
organisasi swasta dan awam. Wujud juga kes penyebaran
virus dan ugutan menggodam.
Sesetengah pihak yang membuat kajian terhadap isu
jenayah dan keselamatan komputer sebelum ini pernah
mendedahkan bahawa sebahagian respondan yang
terlibat dalam tinjauan tersebut melaporkan kerugian
dari segi kewangan akibat serangan penceroboh. Jika
ditafsirkan, nilai kerugian terkumpul dari segi kewangan
tidak mustahil boleh mencecah jutaan ringgit.
Sejauh manakah kesan buruk ini akan merosakkan
generasi muda negara? Adakah kita akan membiarkan
saja, kerana berpendapat ini adalah akibat daripada
impak globalisasi seperti yang diwar-warkan Kerajaan?
Adakah masih menjadi tugas ibu bapa semata-mata
untuk memastikan anak-anak mereka tidak terdedah
kepada budaya negatif ini? Atau perlukah penapisan
laman Internet dikuatkuasakan demi menjaga budaya dan
tatasusila timur?
Masyarakat perlu sedar Internet bertujuan
mempermudah urusan dan untuk memperkaya ilmu,
serta menjadi medan pertukaran pendapat dan idea.
Akan tetapi, pengaruh budaya luar, terutama dari barat,
telah merosakkan minda masyarakat kita, yang selama ini
terkenal dengan adab ketimuran dan penuh dengan sopan
santun. Kita perlu ingat, dalam mengejar arus globalisasi
yang semakin pantas, dan untuk melengkapkan diri
seiring dengan negara maju yang lain, kita tidak perlu
menggadaikan maruah dan jati diri kita sebagai orang timur.
Sebagai rakyat Malaysia yang bijak, kita hendaklah cuba
mewujudkan satu budaya Internet yang sihat dalam usaha
kita memperlengkapkan diri sebagai seorang yang berilmu
dan berpengetahuan. Ini membolehkan kita terus bersaing
dalam dunia yang dikuasai dan dimonopoli oleh pelbagai
teknologi terkini yang menggerak pembangunan dan
kemajuan sesebuah negara.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar